Soalan; Assalamualaikum, Ustaz, apakah hukumnya sekiranya kita terlelap/tertidur sekejap ketika solat, terutamanya solat subuh. adakah solat akan terbatal.
Jawapan;
Biasanya kita hanya mengantuk sahaja di tengah solat (yakni terlelap, bukan tertidur). Mengantuk tidaklah membatalkan solat (sebagaimana tidak membatalkan wudhuk) tanpa ada khilaf di kalangan ulamak sama ada mengantuk/terlelap itu berlaku ketika kita sedang berdiri, rukuk, sujud atau duduk. Adapun jika kita benar-benar tertidur ketika sedang solat, maka hukumnya menurut mazhab Syafiie adalah seperti berikut;
- Jika tidur itu berlaku semasa sedang duduk iaitu punggung kita berada tetap di atas lantai, tidaklah batal solat.
- Jika tidur itu berlaku semasa sedang berdiri atau sedang rukuk atau sujud, batallah solat mengikut pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafiie.
Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi dalam kitabnya “al-Majmuk”; “Jika seseorang tidur di dalam solatnya pada ketika sedang duduk iaitu punggungnya tetap di atas lantai, tibak batal solatnya tanpa khilaf (di kalangan ulamak mazhab Syafiie). Jika ia tidur bukan ketika duduk (yakni ketika berdiri, rukuk atau sujud), terdapat khilaf. Mengikut pandangan yang lemah; tidak batal solat dan wudhuknya. Namun mengikut pandangan yang menjadi pegangan mazhab (Syafiie); batal solat dan juga wudhuknya” (al-Majmu’, 2/16. Dinaqalkan secara mafhum).
Jika seorang tertidur hingga ia bercakap di dalam solatnya (dengan percakapan yang bukan solat), batallah solatnya. Berkata Imam al-Walwaliji dalam fatwanya; “Orang yang menunaikan solat jika ia tertidur dan bercakap ketika sedang tidur itu, batallah solatnya” (Dinaqal oleh Imam Ibnu Nujaim dalam kitabnya al-Asybah wa an-Nazair, 1/276).
Mengenai perbezaan antara mengantuk (terlelap) dengan tidur, dijelaskan oleh ulamak seperti berikut;
- Tidur menguasai akal dan deria (yakni akal dan deria tidak berfungsi lagi kerana dikuasai oleh tidur), sedang mengantuk hanya melemahkan akal dan deria sahaja (yakni akal dan deria masih berfungsi, cuma ia lemah sahaja kerana dipengaruhi persaan mengantuk).
- Berkata al-Qadhi Husain dan Imam al-Mutawallai; tanda tidur ialah hati tidak merasai apa-apa lagi dan sendi-sendi badan akan jatuh/longlai.
- Menurut ulamak juga; di antara tanda mengantuk ialah kita masih mendengar ucapan orang yang hampir dengan kita sekalipun kita tidak memahami apa yang dikatakanya. Adapun mimpi ia adalah dari tanda tidur (maknanya, jika terlelap hingga sampai bermimpi, itu tandanya kita telah tertidur).
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 2/13 (bab al-Ahdas allati Tanqudhu al-Wudhu’).
2. Al-Mausi’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah (perkataan; Naum).
3. Al-Asybah wa an-Nazhair, Imam Ibnu Nujaim, 1/276.
2. Al-Mausi’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah (perkataan; Naum).
3. Al-Asybah wa an-Nazhair, Imam Ibnu Nujaim, 1/276.
No comments:
Post a Comment