FIRMAN Allah SWT: “Dan sesungguhnya Kami muliakan anak-anak Adam (manusia) dan Kami berikan mereka menggunakan pelbagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami berikan rezeki kepada mereka dari benda yang baik-baik serta Kami lebihkan mereka atas banyak makhluk yang telah Kami jadikan.” (Al-Israk, ayat 70)
Sesungguhnya, Allah menjadikan manusia sebagai makhluk ciptaan-Nya yang terhebat dan sempurna berbanding makhluk lain yang dicipta oleh-Nya.
Disebabkan itu juga, sewaktu penciptaan manusia iaitu Nabi Adam AS, Allah menyeru kepada makhluk yang ketika itu paling mulia, yakni malaikat untuk tunduk kepada Adam AS sebagai membuktikan tingginya darjat serta kemuliaan manusia.
Ini kerana, manusia diciptakan Allah sebagai antara makhluk paling unik iaitu mempunyai nafsu serta akal dalam masa sama, untuk membuktikan mereka dapat beramal kepada Allah SWT walaupun digoda dengan bermacam nikmat.
Lantaran itu, Allah SWT meletakkan manusia sebagai khalifah di muka bumi serta dipertanggungjawabkan bagi memakmurkan dunia untuk kesejahteraan kehidupan seluruh umat manusia.
Namun, walaupun darjat penciptaan manusia tinggi di sisi Allah, perlulah kita ketahui ia dinilai oleh Allah berdasarkan amalan yang dilaksanakan seseorang itu.
Darjat setiap manusia pasti berbeza di mana ada yang tinggi serta ada rendah. Darjat di sisi Allah bukanlah diukur dengan harta kekayaan, pangkat, kepandaian atau kuasa, sebaliknya menerusi sifat terpuji yang ada dalam diri mereka.
Antara sifat terpuji itu amanah dan jujur yang menjadi benteng kukuh bagi menghindarkan manusia melakukan segala bentuk amalan keji lagi hina.
Sifat amanah dan jujur perlu disemai dan dibajai dalam proses pendidikan serta pembentukan peribadi Muslim supaya segala tindakan atau amalan yang dilakukan lahir daripada hati suci murni serta bersih.
Sifat amanah mempunyai nilai yang tinggi darjatnya dalam Islam dan ia perlu dipelihara dan dihayati dalam segala tata cara kehidupan umat Islam merangkumi tanggungjawab manusia terutamanya terhadap melaksanakan perintah Allah serta meninggalkan larangan-Nya.
Sesungguhnya amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada manusia satu tugas berat yang tidak dapat dilaksanakan makhluk lain, seperti firman Allah dalam surah Al-Ahzab, ayat 72 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menyerahkan amanah kepada langit, bumi dan gunung ganang, maka semua enggan memikul amanah ini dan mereka khuatir akan mengkhianatinya dan dipikullah amanah ini oleh manusia. Sesungguhnya manusia ini amat zalim dan jahil.” Tanggungjawab melaksanakan segala perintah Allah serta menjauhi segala larangan-Nya ini merangkumi semua perkara dalam aspek urusan harian manusia. Paling utama, perlu kita ketahui amanah yang pertama yang perlu diutamakan adalah dalam melaksanakan perintah Allah berbanding kepentingan lain.
Kemudian, diikuti dengan penyempurnaan serta pemeliharaan hukum Allah dalam semua tempat dan keadaan.
Dengan menjaga serta menyempurnakan hukum Allah ini, barulah seseorang itu akan dapat menjaga keseluruhan anggota lahiriah dan batiniah daripada segala amalan keji dan hina.
Secara tidak langsung juga, ia akan menghindarkan diri seseorang itu daripada melakukan kemungkaran dan mencegah kemungkaran sesama manusia.
Perlu diketahui, orang yang bersifat amanah, jujur dan ikhlas tergolong dalam ciri kesempurnaan iman seperti yang dijelaskan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak sempurna iman bagi orang yang tidak beramanah.” Pentingnya sifat amanah dalam kehidupan masyarakat manusia adalah sebagai penawar bagi mengatasi krisis masyarakat yang kebanyakannya berpunca daripada sikap tidak amanah satu sama lain.
No comments:
Post a Comment