FIRMAN Allah SWT: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia sangat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia sangat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah, 216)
Sesungguhnya, menjadi tabiat manusia sentiasa tidak puas dengan apa yang ada pada diri sendiri dan berasakan dalam hidup sentiasa mempunyai kekurangan.
Malah, apabila ditimpa kegagalan atau mendapat musibah, secara tidak sedar, hati kita cepat mengeluh mengenai perkara yang menimpa kerana berasakan kita antara insan paling malang di dunia.
Namun ketahuilah, sesungguhnya setiap perkara yang menimpa kita sebenarnya adalah takdir yang ditentukan Allah SWT berdasarkan kemampuan seseorang.
Walaupun sesetengah manusia diberikan Allah SWT pelbagai nikmat dunia, sebagai manusia yang beriman kepada Allah, kita perlu sedar bahawa kesenangan itu bukan juga bermakna Allah SWT tidak menguji seseorang itu.
Dalam kehidupan manusia, Allah SWT menguji hamba-Nya menerusi dua cara berbeza iaitu pertama menerusi keburukan, kesusahan atau musibah, dan cara kedua pula menerusi kebaikan atau kesenangan hidup di dunia.
Namun, menjadi lumrah hidup manusia, apabila kita melihat orang lain senang, kita beranggapan nasib kita sungguh malang.
Antara contoh paling mudah, kita melihat paras rupa sebagai ukuran, terutama apabila melihat diri tidak secantik orang lain serta menganggapnya sebagai kelemahan yang ada pada diri dan mengeluh mengenainya.
Malah, apabila kita melihat hidup orang lain penuh kemewahan dengan pangkat atau pelbagai harta dunia, kita sering tertanya-tanya mengapa pula kita tidak dilahirkan dalam kehidupan mewah serta berjaya atau paling tidak, menjadi semewah mereka.
Perlu kita sedar, antara cara Allah menguji hamba- Nya adalah dengan nikmat di dunia. Ini kerana, dengan nikmat yang kita dapat di dunia, tidak mustahil kita terjerumus ke dalam pelbagai perkara tidak baik.
Antara buktinya, dengan rupa paras elok, kita mungkin mudah terjerumus dengan maksiat atau zina, dan dengan pangkat serta harta kekayaan pula kita mungkin bersifat bongkak selain boros berbelanja.
Peringatan Allah mengenai perihal manusia yang diberikan nikmat Allah ada dinyatakan dalam surah Ibrahim, ayat 7 yang bermaksud: “Dan ingatlah, tatkala tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab- Ku amatlah keras.” Jelas bahawa Allah sangat tidak menyukai hamba-Nya yang dilimpahkan dengan kenikmatan namun tidak bersyukur, sebaliknya menyalahgunakan nikmat berkenaan, apatah lagi dengan kenikmatan itu, mereka dengan sewenang-wenangnya membuat bencana, kemungkaran dan maksiat.
Lantaran itu ingat, kita perlu sentiasa bersyukur dengan apa diberikan Allah kepada hamba-Nya.
Namun, bersyukur itu tidak bermakna kita membiarkan diri terus melarat dalam kepompong kedaifan, sebaliknya kita usaha supaya paling tidak sekalipun, kita mampu menyediakan keperluan mencukupi untuk isteri dan anak.
Jangan pula kerana terlalu ingin menunjukkan kita reda dengan ketentuan Allah, kita biarkan hidup melarat hinggakan untuk menyediakan keperluan makanan ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.
Sesungguhnya, itu pula adalah sikap pemalas yang tidak disukai Allah, sedangkan mempunyai kudrat mencukupi untuk mengubah nasibnya.
Oleh itu, kita nilai keadaan diri di mana tahap kita berada. Tidak salah mempunyai kekayaan dan pangkat asalkan tahu bersyukur dan melaksanakan kewajipan yang dinyatakan secara jelas di dalam Islam.
No comments:
Post a Comment